Wednesday, October 15, 2008

Malaysia: 2050

In response to this ...

Lebih 40 tahun telah berlalu sejak Operasi Peti Sejuk tahun 2008. Tahun itu, Gagasan Angkatan Gerakan Asas Kaum (GAGAK) telah mengharamkan segala aktiviti politik.Setelah dipersetujui semua anggota parti komponen, termasuk Chinese Intranational National Association (CINA), Indian National Democratic Independent Association (INDIA), Malayan English Language Able Youngsters Union (MELAYU), berserta beberapa parti kecil mikro yang didakwa pelbagai kaum tetapi biasanya didominasi sesebuah kaum, serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak yang sering dilupakan GAGAK, terutama sekali apabila tiba waktu memotong pulut kuning dengan parang beriben selepas memenangi pilihanraya.

GAGAK bertindak mengharamkan dan menyumbat 5 ketua kerajaan negeri berserta 82 wakil rakyat yang disifatkan mereka anti-negara, anti-Islam, anti-alam sekitar, anti-Christ dan bermacam-macam 'anti' lagi.Oleh yang demikian, kesemua wakil rakyat telah disumbat kedalam sebuah bangunan besar berhawa dingin yang terletak di kaki bukit, sesuai sekali dijadikan tempat peranginan. Malangnya ia adalah kawasan penahanan.Walaupun ISA telah dimansuhkan semenjak 2010, tetapi ia digantikan dengan Akta Sekuriti Aturan Penahanan (ASAP). Ini berikutan kenyataan seorang menteri yang seorang wartawan telah ditahan dibawah akta itu untuk keselamatan dirinya.

Meskipun seluruh dunia membantah, Amnesty International telah mengisytiharkan kesemua tahanan tadi sebagai 'prisoner of conscience' atau tahanan nurani,GAGAK tetap dengan pendiriannya.Semenjak hari itu, tiada siapa berani mengundi parti-parti lawan lagi, termasuk parti Bulan Mengambang, parti Mata ,Parti Kapal Angkasa Lepas mahupun parti Buku Lima.


Hari Raya menjelang tiba. Seorang kanak-kanak memasang mercun di luar rumah teres kepunyaan bapanya. Keadaan jalan di hadapan rumahnya itu rosak teruk, walaupun rumahnya terletak di kawasan yang dikenali Koridor Barat Daya Utara, yang drafnya diluluskan Rancangan Malaysia ke-15.Dengan tiadanya kehadiran pembangkang untuk bersuara, kerajaan dengan ghairahnya meluluskan segala projek yang dianggap bermanfaat, termasuk mahligai berbentuk gasing, istana berbentuk wau, projek lebuh raya berbentuk keris dan sebagainya.

Tiba-tiba muncul dua orang diluar rumahnya, kaki mereka dilabuhkan dari kenderaan pacuan empat roda buatan Jepun, bercermin gelap dan mereka memakai jaket dengan logo kerajaan persekutuan. Besar benar kenderaan itu berbanding Kancil cabuk yang dibawa tuan rumah.

Disangkanya polis, tetapi rupa-rupanya adalah petugas pilihanraya. Senyum mereka sinis, bibir mereka meleret hendak menghulurkan tangan memberi salam kepada tuan rumah, ayah budak tadi apabila mata mereka yang ceria tadi bagaikan Johny Rainbow bertukar menjadi garang seakan John Rambo pula.Mata si ayah dan si anak mengikut pandangan mata si petugas pilihan raya tadi membaca logo di atas mercun yang belum ternyala tadi.

"Power Rocket" tertera di sisinya.

'Hoi budak bodoh! Sokong Roket ya?" Habis disepak diterajang budak tadi sehingga hampir bersepai gigi.

"Bukan bang....cuma mercun bang, itu cuma nama mercun!"

"Aaah, aku tak nak dengar.Budak setan"

Tapi sebelum si ayah boleh bersuara, budak itu sudahpun diseret kedalam kenderaan tadi dan dipecut terus ke bangunan besar berhawa dingin di sisi bukit tadi.Tanpa menghiraukan pekik lolong PBB, akta tersebut dipinda pada tahun 2025 untuk membolehkan budak-budak dan bayi ditahan selepas berusia 2 minggu.Ini adalah untuk membolehkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil bersama anak mereka tanpa perlu berpisah.

Bunyi tangisan budak tadi sayup-sayup kedengaran.Lagu sayu Hari Raya berkumandang di latar belakang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home